

Rentung terpanggil untuk memuji keputusan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merayakan Hari Keputeraan baginda sebagai DYMM Sultan Terengganu dijalankan dengan penuh sederhana dan yang paling mengejutkan semua orang apabila tiada istiadat penganugerahan darjah kebesaran/pingat dilakukan.
Pada masa yang sama, SEMUA akhbar utama melaporkan (sebelah-menyebelah) mengenai keputusan Para Exco Terengganu untuk menggantikan Proton Perdana V6 dengan 14 buah Mercedes Benz E200 Kompressor dengan perbelanjaan RM3.43 juta.
Adakah kerana sebab ini, DYMM Seri Paduka Baginda tidak berkenan untuk menjadikan istiadat pengurniaan darjah kebesaran sebagai salah satu acara sambutan Hari Keputeraan Baginda? Malah disambut pula dengan secara besederhana? Mungkinkah ini satu tamparan kepada Exco yang mungkin telah pun disenaraikan sebagai penerima pingat/darjah kebesaran? Wallahu'alam.
--------------------------
Semasa Rentung menulis laporan ini, YAB MB Terengganu pula menafikan bahawa wang RM3.43 juta diambil daripada wang royalti minyak sebaliknya menyatakan bahawa 'It's from our own coffers' (lihat The Star)
Rentung yang tidak sekolah tinggi ini pun faham bahasa 'orang puteh' yang dimaksudkan oleh YAB MB iaitu "dari dana Kerajaan Negeri". Jadi Rentung terfikir juga, macamana pula "dana dari Kerajaan Negeri" tidak layak dipanggil "wang rakyat" tetapi dikatakan seolah-olah "pakai duit sendiri lah". Atau mungkin YAB MB atau Exco mempunyai 'wang sebanyak 3.43 juta??' (Ya..jawapannya tak mungkin)
Kenapa keputusan membeli Mercedes baru saja diumumkan di akhbar walaupun para barisan Exco Terengganu yang bijak pandai menyatakan keputusan membeli Mercedes telah lama diputuskan (zaman bila? Zaman mantan MB Terengganu? Sebelum atau selepas PRU 12?)
YAB MB Terengganu juga memberikan 'alasan-alasan konkrit' untuk merasionalkan pembelian Mercedes berkenaan antara lain :
- kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.
Izinkan Rentung mengimbau kembali zaman mantan Perdana Menteri (Tun) Dr. Mahathir semasa beliau membuat keputusan asal agar Proton Perdana digunakan sebagai kenderaan rasmi.
Banyak sebab diberikan tetapi yang paling utama ialah :
'BAGI MENYOKONG DAN BERBANGGA DENGAN PRODUK KELUARAN TEMPATAN SEKALIGUS MEMBUKA PELUANG UNTUK MENINGGIKAN PENDAPATAN MENERUSI SISTEM/RANGKAIAN VENDOR'
Bagi Rentung, jika YAB Menteri Besar Terengganu berfikir secara matang, walaupun penyelenggaraan Proton Perdana tinggi (dan Rentung tidak menafikannya kerana Rentung juga memiliki Proton Perdana V6) tapi duit yang dibelanjakan untuk penyelenggaraan itu ke mana akhirnya kalau bukan ke tangan Proton?
Jika pembelian dan penyelenggaraan Mercedes itu lebih rendah, tetapi ke mana wang itu akan dibelanjakan akhirnya kalau bukan ke tangan 'orang lain'?
YAB MB sendiri ada menyebut tentang 'ketahanan kereta Jerman' tetapi sedarkah YAB bahawa YAB telah membandingkan KERETA JERMAN dan Proton Perdana adalah KERETA MALAYSIA? (dengan kata lain seolah-olah merendah-rendahkan kereta Malaysia?)
Dan mungkin YAB dah lupa bahawa teknologi Proton Perdana V6 adalah berasal dari elemen teknologi Lotus (yang juga telah dikuasai oleh Proton?)
Tapi Rentung juga mengambilkira salah satu sebab kenapa kos penyelenggaraan menjadi tinggi - ialah tuntutan yang tinggi dibuat oleh agen yang membawa kereta-kereta berkenaan untuk penyelenggaraan/servis.
Namun kalaupun berbelanja lebih untuk menyelenggara Proton Perdana, bukankah ini akan menyokong produk keluaran tempatan? Apa salahnya??
Kenapa tidak beli sahaja 14 buah Proton Perdana V6 yang baru?? Sudah pasti tidak sampai pun RM3.43 Juta dan wang dapat dijimatkan untuk projek-projek membantu rakyat
Maafkan Rentung, tetapi MB dan Exco seolah-olah TIDAK BERSIKAP PATRIOTIK dan ENGGAN MENYOKONG PRODUK TEMPATAN.
Rakan Rentung mencadangkan agar Proton MENYAMAN YAB MB dan EXCO kerana telah merendah-rendahkan, menyebar dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan memberikan kesan kepada Proton yang baru hendak pulih itu. (Ya Rentung tahu, YAB MB Terengganu pernah menjadi MUSUH KETAT (dah mungkin masih menjadi MUSUH KETAT) kepada Tun Mahathir - harap MB tidak menjadikan ini satu sebab kenapa dia mengambil keputusan demikian)
-----------------------------------
Ulangan
Adakah kerana sebab ini, DYMM Seri Paduka Baginda tidak berkenan untuk menjadikan istiadat pengurniaan darjah kebesaran sebagai salah satu acara sambutan Hari Keputeraan Baginda? Malah disambut pula dengan secara besederhana? Mungkinkah ini satu tamparan kepada Exco yang mungkin telah pun disenaraikan sebagai penerima pingat/darjah kebesaran? Wallahu'alam.
-----------------------------------
Rentung harap YAB Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet dapat mengambil tindakan sewajarnya ke atas Kerajaan Negeri Terengganu dan Rentung juga berharap DYMM Sultan Terengganu selaku DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga mengeluarkan titah supaya Exco Kerajaan Negeri janganlah membazir duit sangat!! (Kita ni tengah susah bukan tengah kaya!! Jadi faham-faham ajelah, perasaan rakyat Terengganu yang masih dhaif apabila melihat Mercedes di perkarangan pejabat SUK. Takut nak jumpa Exco!!)
Bersyukurlah dengan Proton Perdana V6 - tak payahlah nak pakai Mercedes.Kalau nak beli Mercedes pun, belilah pakai duit poket sendiri! Baru betul!!(bukan pakai duit Kerajaan Negeri atau Royalti Minyak)
RENTUNG!!!!


1 comment:
23/07/2008
Berbangga dengan Proton
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)
TARIKH 7 Mei 1983 tersemat di ingatan rakyat Malaysia apabila kerajaan menubuhkan syarikat kereta nasional pertama di negara ini, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton).
Matlamat penubuhan Proton adalah untuk mengeluar, memasang dan menjual kereta jenama Malaysia serta produk-produk yang berkaitan seperti alat ganti, aksesori dan komponen-komponen lain.
Dua tahun selepas menjalani pelbagai eksperimen - bermula daripada sekecil-kecil komponen hinggalah kepada pandu uji - maka lahirlah kereta pertama kebanggaan negara yang dinamakan sebagai Saga pada 9 Julai 1985.
Semangat, aspirasi serta rasa bangga pengasas Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu meresapi minda rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk memandu kereta jenama tempatan.
Saga menjadi anak sulung Proton yang kemudiannya melahirkan beberapa model baru iaitu Iswara, Satria, Tiara, Wira, Putera, Perdana, Satria GTi, Perdana V6, Waja dan yang terbaru Persona.
Lebih membanggakan apabila 'anakanak' Proton dibawa dengan megahnya menjenguk arena antarabangsa dan singgah di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Mauritius, Afrika Selatan, Mesir, Singapura, Iran, Indonesia, Taiwan, Pakistan, Turki, Thailand dan banyak lagi.
Itulah sejarah ringkas Proton yang kini telah mengeluarkan ratusan ribu kenderaan mampu milik untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Biarpun ada cakap-cakap mengenai kereta jenama tempatan ini, namun siapa pun tidak boleh menyangkal bahawa anak-anak yang dilahirkan oleh Proton masih menjadi pilihan utama.
Setiap kali model baru Proton dilancarkan, tempahan yang diterima melimpah ruah, sebanyak mana sekali pun rungutan yang dilemparkan terhadap mutu kereta jenama itu tidak pernah menggugat pasaran Proton.
Proton sendiri tidak pernah berdiam diri atau selesa dengan jualan yang memberangsangkan. Kerja keras untuk memastikan jaminan kualiti sentiasa dilaksanakan dalam jatuh bangun syarikat kebanggaan negara itu untuk membina nama serta jenama.
Terbaru Proton Holdings Berhad melancarkan kempen kualiti yang menekankan komitmen syarikat itu dalam soal peningkatan kualiti selaras dengan matlamatnya untuk menjadi pengeluar bertaraf antarabangsa.
Penerokaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk dari sudut reka bentuk sentiasa menjadi keutamaan biarpun setiap kali mengeluarkan produk baru pasti kedengaran rungutan yang tidak berkesudahan.
Namun usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Proton menampakkan kesan yang amat ketara. Proton Persona, model kelima keluaran Proton sepenuhnya yang dilancarkan Ogos tahun lepas menerima pujian yang bukan sedikit.
Ia amat sejajar dengan falsafah penubuhan Proton itu sendiri iaitu mengeluarkan kereta untuk pasaran yang bersesuaian dan dijual pada harga berpatutan.
Namun di sebalik rasa bangga yang tersimpul sejak 25 tahun lalu, masih ada rakyat Malaysia yang tidak yakin jauh sekali untuk berbangga dengan produk yang dikeluarkan oleh Proton.
Secara terang-terangan mutu salah sebuah model Proton iaitu Perdana V6 Executive diperlekehkan sehingga tidak layak menjadi kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu.
Alasan kepimpinan negeri Penyu Menangis itu ialah kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi, kereta itu juga mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.
Lalu mereka memilih untuk membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang bernilai RM3.43 juta semestinya bersandarkan alasan yang boleh mewajarkan penolakan Perdana V6.
Apa pun alasan yang dijaja oleh Menteri Besar Terengganu serta barisan exconya untuk membolehkan mereka bersandar di tempat duduk belakang E200 Kompressor itu tidak akan diterima rakyat dengan mudah.
Telah diketahui umum bahawa kenderaan rasmi kerajaan sama ada di peringkat Pusat ataupun negeri ialah Proton - bagi membuktikan kepimpinan melalui teladan dan menyokong industri kereta nasional.
Jika rakyat digesa menggunakan produk tempatan terutamanya kereta jenama sendiri maka di peringkat kerajaan amalan yang sama mesti dihayati malah lebih daripada itu.
Lebih menusuk perasaan ialah apabila kita membayangkan bentuk fizikal serta keluasan negeri Terengganu itu sendiri timbul persoalan perlukah para pegawainya menggunakan kereta sehebat itu.
DibelengguBandingkan pula dengan taraf hidup rakyat di negeri itu, ada yang masih dibelenggu kemiskinan tegar tetapi pada masa yang sama pemimpin yang diundi rakyat berselera besar.
Hakikatnya, RM13.43 juta mungkin kecil bagi barisan Exco serta Menteri Besar Terengganu apatah lagi royalti minyak menunggu masa untuk disalurkan ke negeri itu oleh Kerajaan Pusat.
Namun mengubah penampilan sederhana semasa berkempen pada pilihan raya umum lalu kepada satu imej yang amat bertentangan pasti tidak disenangi oleh rakyat jelata.
Ia juga menyebabkan rakyat menjadi keliru dan silap-silap haribulan berasa tertipu dengan trend kempen berkain pelikat dan menaiki kenderaan nasional hanyalah untuk memancing undi.
Perlu diingat kenderaan rasmi adalah untuk tugas rasmi di sebuah negeri yang bentuk fizikalnya tidak mencabar seperti di Sabah dan Sarawak.
Justeru mengungkit kos penyenggaraan yang tinggi selain kononnya Perdana V6 mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh hanya boleh diterima oleh sebahagian akal.
Manakala sebahagian lagi akal tidak boleh menolak fakta bahawa Mercedes E200 Kompressor jika dicalar oleh budak-budak nakal mahu saja kos untuk menutup kecacatan sekecil itu menelan belanja yang bukan sedikit.
Soal kemampuan kewangan kerajaan negeri Terengganu (jangan dilupa sumbernya adalah rakyat) untuk membeli kenderaan rasmi jenama Mercedes itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Biar kaya mana pun sesebuah kerajaan negeri itu, yang lebih penting dijaga ialah hati rakyat. Juga penting menyerlahkan kebanggaan terhadap kemampuan negara mengeluarkan kereta sendiri dengan cara menyokong industri tersebut.
Tiada gunanya Mercedes menjalar di jalan-jalan raya di Terengganu sedangkan kedudukannya masih di belakang negeri-negeri yang pemimpinnya menggunakan Perdana V6.
Post a Comment